Saturday 28 June 2014

Resepi Soto Ayam Jawa



RESEPI SOTO AYAM JAWA


 

            Soto ialah salah satu jenis sup resepi soto ayam jawa yang dihidangkan bersama nasi himpit mahupun mi. Mi yang biasa digunakan ialah mihun. Ia mempunyai banyak variasi dan resepi. Soto hanyalah bermaksud sup dan ia terdapat dalam pelbagai rupa dan bentuk. Terdapat banyak jenis dan resepi soto di serata Nusantara terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

            Soto di Malaysia dan Singapura biasanya berkuah cerah dan rasa berempah dan dimakan bersama nasi himpit. Manakala di Indonesia pula berbeza mengikut kawasan dan daerahnya. Sebagai contoh, terdapat soto Bandung, soto Banten, soto kuning Bogoe, soto Medan, soto Padang dan sebagainya.

            Oleh kerana soto ini berasaskan sup, pelbagai yang boleh ditambah untuk membezakan sesuatu jenis soto itu dengan soto yang lainnya. Perbezaan ini termasuklah kombinasi rempah dan perisa, penggunaan santan, jenis daging dan tambahan lain seperti bergedil kentang. Anda mahu tahu dari mana asal-usul nama soto itu?

            Ada yang menyatakan bahawa pada zaman dahulu soto merupakan makanan raja-raja. Kononnya, pada masa dahulu terdapat seorang raja yang adil. Pada suatu hari, baginda jatuh sakit sehinggakan susah untuk baginda makan. Baginda menginginkan sesuatu yang bersup dan senang dikunyah tetapi baginda tidak menyukai bubur. Akhirnya sup ayam dimasak dan nasi ditambahkan ke dalamnya.

            Namun, butiran nasi itu sukar untuk disuap kepada raja yang lemah itu. Oleh itu, baginda meminta ketupat yang dipotong kecil dan dimasukkan ke dalam sup tersebut. Ketulan-ketulan ketupat itu telah menyerap sup yang masih panas dan ianya senang disuapkan kepada raja. Supnya pula ditambah dengan rempah supaya raja dapat menikmati sup tersebut kerana orang yang sakit selalunya kurang berselera.

            Oleh itu, hidangan makanan yang baru ini diperkenalkan. Individu yang menyuap sup kepada raja dipanggil ratu. Jadi, apabila suap ratu jika diulang dengan cepat akan menjadi soto. “Sroto” masih digunakan di bahagian Jawa Tengah tetapi di kawasan lain nama ini diringkaskan menjadi soto yang lebih mudah disebut.

 

Bahan-bahan untuk Kuah Soto


·         Setengah ekor ayam (dipotong dengan saiz sederhana)

·         Semangkuk tulang ayam atau rangka ayam

·         2 hiris lengkuas

·         2 batang serai (diketuk dan dibelah dua)

·         5 helai daun purut

·         1 sudu teh serbuk kunyit

·         4 – 6 biji buah keras (ditumbuk)

·         1 sudu teh lada hitam atau serbuk lada sulah

·         5 ulas bawang putih

·         1 inci halia muda

·         Jintan manis

·         Jintan putih

·         Ketumbar

 

Cara-cara Memasak Kuah Soto


1.      Goreng ayam sehingga masak

2.      Kemudian, simpan minyak untuk menggoreng bawang dan pegedil nanti.

3.      Panaskan minyak baru yang lain.

4.      Tumiskan bahan tumis tadi selain serbuk lada sudah dan bahan yang ditumbuk. Tumis sehingga garing.

5.      Selepas itu, masukkan bahagian ayam yang bertulang.

6.      Kacau seketika dan masukkan sedikit air dan serbuk kunyit.

7.      Biarkan mereneh seketika.

8.      Kemudian, tambahkan air secukupnya.

9.      Masukkan semua ayam yang sudah digoreng dan semua bahan lain.

10.  Rebuskan sehingga mendidih.

11.  Letakkan garam dan lada sulah secukup rasa.

12.  Angkat ayam dan ketepikan. Kemudian, siat-siatkan isinya.


 

Bahan-bahan untuk Pegedil Kentang


·         4 biji kentang kuning sederhana besar

·         ½ biji bawang besar (dihiris dan cincang)

·         1 biji telur

·         Lada sulah

·         Daun bawang (dipotong halus)

·         Daun sup (dipotong halus)

·         Sedikit garam

 

Cara-cara Membuat Pegedil Kentang


1.      Goreng bawang besar dalam minyak gorengan ayam tadi. Kemudian, toskan.

2.      Kentang juga dihiris dan digoreng sehingga empuk dengan menggunakan minyak gorengan ayam sehingga kekuningan.

3.      Kemudian, tumbuk kentang sehingga halus.

4.      Gaulkan semuabahan tadi dengan sebiji telur.

5.      Kepalkan kentang menjadi bebola kecil yang leper.

6.      Kemudian, celup bebola ke dalam telur tadi.

7.      Selepas itu, goreng kentang sehingga keperangan dan biarkan sejuk.

 

Bahan-bahan untuk Sambal Kicap


·         5 biji cili padi

·         1 ulas bawang putih

·         1 biji limau nipis / 2 biji limau kasturi

·         Kicap secukupnya

·         Garam

 

Cara-cara Membuat Sambal Kicap


1.      Tumbuk cili dan bawang putih sehingga lumat.

2.      Masukkan kicap dan perahkan sedikit limau.

3.      Kacau rata.

4.      Sekiranya sambal kicap terlalu pedas, anda boleh tambahkan sedikit gula.

 

 

            Untuk rampaian soto, anda memerlukan telur rebus, bawang goring, hirisan daun bawang, hirisan daun sup dan taugeh. Ini adalah untuk dimakan bersama soto apabila semuanya sudah siap dimasak. Anda juga boleh menambah dengan suhun goreng dan kacang tanah goreng untuk menambahkan kesedapan soto anda. Sup dan bahan lain sudah siap dimasak. Anda bolehlah menghidangkan resepi soto ayam jawa ini bersama nasi himpit, mihun atau mi kuning. Selamat mencuba!